Sebagai Pendesak Kepada Ketelusan
Kerajaan
Di dalam mempercepatkan proses
pendemokrasian di Malaysia, masyarakat sivil memainkan peranannya sebagai
pendesak kepada ketelusan Kerajaan Malaysia. Ini dapat dilihat melalui peranan
gabungan pertubuhan badan bukan Kerajaan dan parti pembangkang untuk pilihanraya
bersih dan telus (BERSIH) yang menggesa Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR)
memperkenalkan sistem pencelupan jari dengan dakwat untuk dalam pilihanraya ke
12 bagi usaha membasmi kewujudan pengundi hantu.3 Perkara ini dilakukan kerana,
di dalam menuju sistem demokrasi yang tulen, pilihanraya yang adil dan bersih
menjadi salah satu tonggak kepada aplikasi demokrasi di dalam sesebuah negara.
Gesaan ini berhasil bilamana pihak SPR bersetuju melaksanakan teknik tersebut
untuk pilihanraya akan datang. Ini secara tidak langsung menyumbang kepada
proses pendemokrasian di Malaysia.
Selain itu, masyarakat
sivil di Malaysia turut berperanan kearah pendemokrasian bilamana Pertubuhan
Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK) yang di ketuai oleh saudara Ezam Md
Noor berhasil mendesak pihak Kerajaan membersihkan dan merekonstruksi semula
Badan Pencegah Rasuah (BPR) dari kes rasuah oleh Ketua Pengarahnya sendiri
serta mendesak agar BPR diberikan kuasa pendakwaan keatas kes-kes rasuah tanpa
perlu merujuk kepada Jabatan Peguam Negara. Implikasinya ialah Kerajaan
Malaysia bertindak tidak meneruskan kontrak Ketua Pengarah BPR di samping
mempergiatkan kempen membanteras rasuah di kalangan pegawai kanan Kerajaan.
Sebagai kumpulan pendesak, peranan masyarakat sivil sebagai “watchdog”
dan pengimbang kepada kuasa Kerajaan memungkinkan penyalahgunaan kuasa oleh
pihak kerajaan dapat dielakkan.
Keadaan ini, secara
tidak langsung mendorong kepada proses pendemokrasian yang mapan di Malaysia.
Kua (2005:19) memberikan tafsiran bahawa, kaedah yang di lakukan oleh
masyarakat sivil seperti demonstrasi aman, pengedaran risalah kempen dan
mengadakan rapat umum menyebabkan sesetengah kempen mereka berjaya menarik
perhatian Kerajaan kerana tekanan yang di terima dari masyarakat antarabangsa.
Ini sekaligus menjelaskan betapa peranan yang di mainkan oleh masyarakat sivil
dapat menyebabkan pendemokrasian di sesebuah negara.
Pengimbang Kepda Kerajaan
Sebagai agen kearah proses
pendemokrasian negara, masyarakat sivil seringkali di lihat sebagai pengimbang
kepada kuasa Kerajaan selain dari pihak pembangkang. Gerakan sivil yang
berjuang bukan diatas kapasiti parti politik, seringkali memberikan kritikan
yang membina dan berusaha memantau penyalahgunaan kuasa oleh Kerajaan. Diantara
tonggak-tonggak di dalam sistem demokrasi ialah ketelusan Kerajaan di dalam
menjalankan peranannya. Chowdry (2003:108) menyatakan bahawa, acapkali pihak
penguasa bertindak di luar batasan dengan melanggar hak asasi manusia didalam
memadamkan tentangan yang di terima diatas kebobrokan polisi yang di lancarkan
oleh mereka.
Dengan kewujudan
masyarakat sivil, pemantauan keatas penyalahgunaan kuasa oleh pihak Kerajaan
dapat di lakukan. Ini kerana hampir 80 peratus dari pimpinan dan ahli pertubuhan
masyarakat sivil merupakan mereka-mereka yang menerima didikan yang tinggi di
dalam disiplin undang-undang dan politik. Dari sini, pihak Kerajaan akan lebih
berhati-hati di dalam menjalankan tanggungjawabnya kepada massa. Di Malaysia,
kewujudan gerakan hak asasi seperti Persatuan Hak Asasi Manusia (HAKAM) secara
tidak langsung membawa implikasi positif kepada penyalahgunaan kuasa oleh pihak
penguasa (Kua 2005:25).
Pembela Kepada Masyarakat Minoriti
Terdapat di dalam kes-kes tertentu,
masyarakat sivil di Malaysia memainkan peranan sebagai pembela kepada
masyarakat minoriti yang tertindas. Dahl (1989) menggariskan bahawa di dalam
sesebuah sistem demokrasi itu, perlulah wujud pembelaan keatas kebajikan
minoriti yang menjadi rakyatnya. Di dalam konteks pendemokrasian di Malaysia,
gerakan sivil memainkan peranan aktif di dalam membela kepentingan golongan
minoriti yang seakan di abaikan oleh pihak penguasa. Peranan yang efektif ini
dapat dibuktikan melalui solidariti gerakan sivil di dalam mempertahankan
golongan peneroka bandar yang di nafikan hak memiliki rumah kediaman di Kampung
Berembang.
Gerakan masyarakat
sivil telah mengambil langkah progressif di mana memberikan khidmat nasihat
perundangan secara percuma (Pro-Bono) agar pihak penduduk kampung
membawa kes tersebut ke mahkamah untuk mendapatkan keadilan (SUARAM
2007:37-38). Antara tindakan lain yang di ambil oleh gerakan masyarakat sivil
demi membela golongan minoriti tertindas ini ialah dengan mengeluarkan laporan
penyiasatan penyelewengan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Implikasi dari tindakan
ini, pihak Kerajaan mengambil langkah berhati-hati di dalam tindakannya yang
mungkin mencalarkan semangat demokrasi di Malaysia. Dari hujah di atas, ia memperlihatkan
bagaimana gerakan masyarakat sivil itu sendiri berperanan di dalam menyemarakkan
lagi proses pendemokrasian di dalam negara walaupun tidak mendapat perhatian
yang sewajarnya, namun ia telah membuka mata semua pihak bahawa aspek hak asasi
tidak boleh di permainkan sesuka hati oleh pihak penguasa.
Penggerak Kepada Kempen Pendemokrasian
Kua (2005: 21-25) menyatakan bahawa, di
sebabkan kedudukan masyarakat sivil itu terletak di ruang diantara massa dan
Kerajaan, maka ia menjadi agen pendemokrasian yang sesuai di dalam menggerakan
kan setiap kempen demokrasi. Salah satu indikator yang di gunapakai di dalam
mengukur tahap demokrasi sesebuah negara ialah melalui pengamalan konsep “Rule
Of Law” (Fareed et al 1998:25-28). Di Malaysia, pengamalan undang-undang
pencegahan seperti akta keselamatan dalam negeri (I.S.A) dan ordinan darurat
1948 seringkali mengabaikan hak asasi seseorang yang dituduh di bawahnya dan
proses penyiasatan yang zalim serta di luar batas kemanusiaan telah menyebabkan
prinsip-prinsip demokrasi dicalarkan dengan teruk. Berteraskan kepada prinsip
demokrasi yang mementingkan aspek keadilan di dalam setiap pertuduhan, maka sebanyak
88 buah pergerakan masyarakat sivil dari pelbagai latar belakang dan orientasi
perjuangan telah membentuk Gerakan Mansuhkan I.S.A (GMI) (Subky: 2006).
Celichowski, J. 2004. Civil society in Eastern Europe: growth
without engagement. Dlm. M. Glasius, D. Lewis & H.Seckinelgin (pnyt.). Exploring
Civil Society: Political And Cultural Contexs, 71-79. London: Routledge.
Chowdry M H. 2003 Democratization In South Asia.
London: Ashgate Publishing Ltd.
Dahl R . 1989. Democracy
And Its Critics . New Haven: Yale University Press.
Elgstrom O. 2002.
Developmet And Democracy. London: Routledge Curzon Ltd.
Fareed Zakaria
et al. 1998. Democracy. London: Foreign Affair Reader Press.
Gallie W B.
1964. Philospher Of Peace And War. Cambridge: Cambridge University
Press.
Hall, J.A. 1995. Civil Society: Theory,
History And Comparison. Cambridge: Polity Press.
Heimanson R.
1967. Dictionary Of Political Science And Law. New York: Oceana
Publications.
Huntington S P.
1995. The Third Wave Of Democracy. Massachuseth: Harvard University
Press.
Kua Kia Soong.
2005. The Malaysian Civil Movement. Petaling Jaya : SIRD.
M Natsir. 1987.
Demokrasi Di Bawah Hukum. Jakarta: Media Dakwah Press.
Palmer, T.G. 2002. Classical Liberalism And Civil Society:
Definitions, History, And Relations. Dlm. B. Rosenblum & R.C. Post (pnyt.).
Civil society and governmnet, 48-78. Princeton: Princeton University
Press.
Putnam, R.D. 1995. Bowling alone: America’s Declining Social
Capital. Journal Of Democracy 6(3): 65-78.