Friday 22 March 2013

KEPENTINGAN MASYARAKAT SIVIL




Sebagai Pendesak Kepada Ketelusan Kerajaan


Di dalam mempercepatkan proses pendemokrasian di Malaysia, masyarakat sivil memainkan peranannya sebagai pendesak kepada ketelusan Kerajaan Malaysia. Ini dapat dilihat melalui peranan gabungan pertubuhan badan bukan Kerajaan dan parti pembangkang untuk pilihanraya bersih dan telus (BERSIH) yang menggesa Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) memperkenalkan sistem pencelupan jari dengan dakwat untuk dalam pilihanraya ke 12 bagi usaha membasmi kewujudan pengundi hantu.3 Perkara ini dilakukan kerana, di dalam menuju sistem demokrasi yang tulen, pilihanraya yang adil dan bersih menjadi salah satu tonggak kepada aplikasi demokrasi di dalam sesebuah negara. Gesaan ini berhasil bilamana pihak SPR bersetuju melaksanakan teknik tersebut untuk pilihanraya akan datang. Ini secara tidak langsung menyumbang kepada proses pendemokrasian di Malaysia.

Selain itu, masyarakat sivil di Malaysia turut berperanan kearah pendemokrasian bilamana Pertubuhan Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK) yang di ketuai oleh saudara Ezam Md Noor berhasil mendesak pihak Kerajaan membersihkan dan merekonstruksi semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) dari kes rasuah oleh Ketua Pengarahnya sendiri serta mendesak agar BPR diberikan kuasa pendakwaan keatas kes-kes rasuah tanpa perlu merujuk kepada Jabatan Peguam Negara. Implikasinya ialah Kerajaan Malaysia bertindak tidak meneruskan kontrak Ketua Pengarah BPR di samping mempergiatkan kempen membanteras rasuah di kalangan pegawai kanan Kerajaan. Sebagai kumpulan pendesak, peranan masyarakat sivil sebagai “watchdog” dan pengimbang kepada kuasa Kerajaan memungkinkan penyalahgunaan kuasa oleh pihak kerajaan dapat dielakkan.

Keadaan ini, secara tidak langsung mendorong kepada proses pendemokrasian yang mapan di Malaysia. Kua (2005:19) memberikan tafsiran bahawa, kaedah yang di lakukan oleh masyarakat sivil seperti demonstrasi aman, pengedaran risalah kempen dan mengadakan rapat umum menyebabkan sesetengah kempen mereka berjaya menarik perhatian Kerajaan kerana tekanan yang di terima dari masyarakat antarabangsa. Ini sekaligus menjelaskan betapa peranan yang di mainkan oleh masyarakat sivil dapat menyebabkan pendemokrasian di sesebuah negara.
 

Pengimbang Kepda Kerajaan


Sebagai agen kearah proses pendemokrasian negara, masyarakat sivil seringkali di lihat sebagai pengimbang kepada kuasa Kerajaan selain dari pihak pembangkang. Gerakan sivil yang berjuang bukan diatas kapasiti parti politik, seringkali memberikan kritikan yang membina dan berusaha memantau penyalahgunaan kuasa oleh Kerajaan. Diantara tonggak-tonggak di dalam sistem demokrasi ialah ketelusan Kerajaan di dalam menjalankan peranannya. Chowdry (2003:108) menyatakan bahawa, acapkali pihak penguasa bertindak di luar batasan dengan melanggar hak asasi manusia didalam memadamkan tentangan yang di terima diatas kebobrokan polisi yang di lancarkan oleh mereka.

Dengan kewujudan masyarakat sivil, pemantauan keatas penyalahgunaan kuasa oleh pihak Kerajaan dapat di lakukan. Ini kerana hampir 80 peratus dari pimpinan dan ahli pertubuhan masyarakat sivil merupakan mereka-mereka yang menerima didikan yang tinggi di dalam disiplin undang-undang dan politik. Dari sini, pihak Kerajaan akan lebih berhati-hati di dalam menjalankan tanggungjawabnya kepada massa. Di Malaysia, kewujudan gerakan hak asasi seperti Persatuan Hak Asasi Manusia (HAKAM) secara tidak langsung membawa implikasi positif kepada penyalahgunaan kuasa oleh pihak penguasa (Kua 2005:25).


Pembela Kepada Masyarakat Minoriti

Terdapat di dalam kes-kes tertentu, masyarakat sivil di Malaysia memainkan peranan sebagai pembela kepada masyarakat minoriti yang tertindas. Dahl (1989) menggariskan bahawa di dalam sesebuah sistem demokrasi itu, perlulah wujud pembelaan keatas kebajikan minoriti yang menjadi rakyatnya. Di dalam konteks pendemokrasian di Malaysia, gerakan sivil memainkan peranan aktif di dalam membela kepentingan golongan minoriti yang seakan di abaikan oleh pihak penguasa. Peranan yang efektif ini dapat dibuktikan melalui solidariti gerakan sivil di dalam mempertahankan golongan peneroka bandar yang di nafikan hak memiliki rumah kediaman di Kampung Berembang.

Gerakan masyarakat sivil telah mengambil langkah progressif di mana memberikan khidmat nasihat perundangan secara percuma (Pro-Bono) agar pihak penduduk kampung membawa kes tersebut ke mahkamah untuk mendapatkan keadilan (SUARAM 2007:37-38). Antara tindakan lain yang di ambil oleh gerakan masyarakat sivil demi membela golongan minoriti tertindas ini ialah dengan mengeluarkan laporan penyiasatan penyelewengan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Implikasi dari tindakan ini, pihak Kerajaan mengambil langkah berhati-hati di dalam tindakannya yang mungkin mencalarkan semangat demokrasi di Malaysia.  Dari hujah di atas, ia memperlihatkan bagaimana gerakan masyarakat sivil itu sendiri berperanan di dalam menyemarakkan lagi proses pendemokrasian di dalam negara walaupun tidak mendapat perhatian yang sewajarnya, namun ia telah membuka mata semua pihak bahawa aspek hak asasi tidak boleh di permainkan sesuka hati oleh pihak penguasa.


Penggerak Kepada Kempen Pendemokrasian


Kua (2005: 21-25) menyatakan bahawa, di sebabkan kedudukan masyarakat sivil itu terletak di ruang diantara massa dan Kerajaan, maka ia menjadi agen pendemokrasian yang sesuai di dalam menggerakan kan setiap kempen demokrasi. Salah satu indikator yang di gunapakai di dalam mengukur tahap demokrasi sesebuah negara ialah melalui pengamalan konsep “Rule Of Law” (Fareed et al 1998:25-28). Di Malaysia, pengamalan undang-undang pencegahan seperti akta keselamatan dalam negeri (I.S.A) dan ordinan darurat 1948 seringkali mengabaikan hak asasi seseorang yang dituduh di bawahnya dan proses penyiasatan yang zalim serta di luar batas kemanusiaan telah menyebabkan prinsip-prinsip demokrasi dicalarkan dengan teruk. Berteraskan kepada prinsip demokrasi yang mementingkan aspek keadilan di dalam setiap pertuduhan, maka sebanyak 88 buah pergerakan masyarakat sivil dari pelbagai latar belakang dan orientasi perjuangan telah membentuk Gerakan Mansuhkan I.S.A (GMI) (Subky: 2006). 

Celichowski, J. 2004. Civil society in Eastern Europe: growth without engagement. Dlm. M. Glasius, D. Lewis & H.Seckinelgin (pnyt.). Exploring Civil Society: Political And Cultural Contexs, 71-79. London: Routledge. 
Chowdry M H. 2003 Democratization In South Asia. London: Ashgate Publishing Ltd.
Dahl R . 1989. Democracy And Its Critics . New Haven: Yale University Press.
Elgstrom O. 2002. Developmet And Democracy. London: Routledge Curzon Ltd.
Fareed Zakaria et al. 1998. Democracy. London: Foreign Affair Reader Press.
Gallie W B. 1964. Philospher Of Peace And War. Cambridge: Cambridge University Press.
Hall, J.A. 1995. Civil Society: Theory, History And Comparison. Cambridge: Polity Press.
Heimanson R. 1967. Dictionary Of Political Science And Law. New York: Oceana Publications.
Huntington S P. 1995. The Third Wave Of Democracy. Massachuseth: Harvard University Press.
Kua Kia Soong. 2005. The Malaysian Civil Movement. Petaling Jaya : SIRD.
M Natsir. 1987. Demokrasi Di Bawah Hukum. Jakarta: Media Dakwah Press.
Palmer, T.G. 2002. Classical Liberalism And Civil Society: Definitions, History, And Relations. Dlm. B. Rosenblum & R.C. Post (pnyt.). Civil society and governmnet, 48-78. Princeton: Princeton University Press.
Putnam, R.D. 1995. Bowling alone: America’s Declining Social Capital. Journal Of Democracy 6(3): 65-78.