Friday 22 March 2013

MASYARAKAT SIVIL



Konsep masyarakat sivil ini telah digunakan dengan meluas sebagai konsep deskriptif untuk menilai keseimbangan antara kuasa negara dan persatuan atau badan persendirian. Bagi tradisi liberal, masyarakat sivil dikaitkan dengan pilihan, kebebasan dan tanggungjawab individu. Ini menjelaskan mengapa masyarakat sivil yang sihat dan kuat merupakan ciri penting kepada demokrasi liberal khususnya mempunyai rujukan moral kepada masyarakat sivil terhadap negara yang diterjemahkan melalui hasrat untuk meminimakan ruang kuasa negaradan memaksimakan ruang persendirian. Kumpulan-kumpulan sukarela, pergerakan sosial, media massa dan lain-lain institusi bukan kerajaan dapat berfungsi tanpa kawalan kerajaan.

Masyarakat sivil adalah merupakan ruang yang wujud diantara pihak kerajaan dan rakyat biasa. Ruang ini dikenali sebagai ruang awam. Masyarakat sivil ini dikatakan amat penting di dalam menjaga kepentingan negara. Ia dikatakan sebagai “watchdog” atau pemerhati kepada tindak tanduk pihak kerajaan. Ia juga dikatakan sangat penting kepada sesebuah negara kerana dianggap sebagai pengimbang kepada pihak kerajaan. Kenyataan ini memang tidak dapat disangkalkan kerana golongan masyarakat sivil atau NGO amat penting kerana ia adalah merupakan saluran bagi memperjuangkan hak rakyat. Mengikut Hall (1995), peranan masyarakat sivil tidak hanya sekadar menjadi enjin penggerak, tetapi juga sebagai enjin idea bagi para pejuang demokrasi. 



Manakala Hall, Baker (2002) menggariskan bahawa ketiadaan kumpulan masyarakat sivil dalam ses­ebuah negara dapat merencatkan kadar demokrasi di negara tersebut. Ini kerana masyarakat sivil tidak hanya sebagai pengawal bagi tumbuh segarnya demokrasi, tetapi juga turut memainkan per­anan yang besar dalam menyedarkan masyarakat tentang pentingnya demokrasi. Dalam konteks ini, masyarakat sivil juga melakukan sosialisasi politik kepada masyarakat luas untuk dapat meni­lai sikap pemerintah berkuasa dan apabila kerajaan telah terkeluar dari cita-cita undang-undang, maka rakyat dan masyarakat sivil akan turun ke jalan menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap prestasi kerajaan.2

Avritzer (2004) dan Celichowski (2004) pula akur mengenai peranan masyarakat sivil sebagai pembela demokrasi. Tidak hanya sebagai pembela, beberapa peranan lain pun turut dimainkan oleh kumpulan masyarakat sivil seperti menjadi pengantara antara pemerintah dan rakyat, penyemak dasar kerajaan yang sedang digubal dan lainnya. Kajian terkini yang dibuat oleh Burrage (2008) juga menarik perhatian kerana menggariskan dengan jelas kaitan antara masyarakat sivil dengan proses pendemokrasian. Mengikut hujahnya, masyarakat sivil di negara bukan demokrasi terbahagi dalam dua kategori besar iaitu masyarakat sivil yang ‘bekerja’ untuk demokrasi dan masyarakat sivil yang ‘bekerja’ untuk negara.

 Masyarakat sivil yang disebutkan pertama, selalu menjadi penyeimbang bagi masyarakat sivil yang disebutkan ter­akhir. Ini kerana masyarakat sivil yang bekerja untuk negara melakukan sosialisasi atau penana­man ‘nilai’ pada minda masyarakat sesuai dengan kehendak negara. Tujuan kumpulan ini hanya satu iaitu menyabar dan mematangkan nilai demokrasi yang sejati pada minda masyarakat, dan proses inilah yang kemudiannya disebut sebagai proses pendemokrasian, proses penyebaran nilai demokrasi yang lambat laun diterapkan oleh rakyat dan negara sebagai bentuk penerimaan prinsip demokrasi. Peningkatan kadar demokrasi inilah yang diharapkan dalam proses pendemokrasian dari yang mulanya tiada menjadi ada (Burrage 2008:285). 



Adams C. 1966. Bung Karno: Penyambung Lidah Rakyat Indonesia. Jakarta: Gunung Agung Press. 
Avritzer, A. 2004. Civil society in Latin America: uncivil, liberal and participatory models. Dlm. M. Glasius, D. Lewis & H. Seckinelgin (pnyt.). Exploring Civil Society: Political And Cultural Contexs, 53-60. London: Routledge.  
Baker, G. 2002. Civil Society And Democratic Theory: Alternative Voices. London: Routledge. 
Barraclough, S. 1985. The dynamic of coercion in the Malaysian political process. Modern Asian Studies 19(4): 797-822. 
Burrage, M. 2008. Class Formation, Civil Society And The State. New York: Palgrave Macmillan. 
Celichowski, J. 2004. Civil society in Eastern Europe: growth without engagement. Dlm. M. Glasius, D. Lewis & H.Seckinelgin (pnyt.). Exploring Civil Society: Political And Cultural Contexs, 71-79. London: Routledge. 
Chowdry M H. 2003 Democratization In South Asia. London: Ashgate Publishing Ltd.